PENGENALAN POLITEKNIK TAWAU SABAH 

 

 

Politeknik Tawau Sabah (PTS) merupakan Politeknik Malaysia yang ke-36 dan politeknik paling baharu ditubuhkan di Malaysia. PTS telah didaftarkan pada 1 September 2017 di Tawau, Sabah di bawah naungan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT).

 

PROGRAM PENGAJIAN 

Buat masa ini PTS menawarkan dua (2) program pengajian diploma iaitu Diploma Pengurusan Pelancongan (DUP), ambilan pertama pada sesi Disember 2018, dan Diploma Pelancongan Rekreasi (DRT), ambilan pertama pada sesi II: 2022/2023 (Mac 2023). Semua program pengajian ini di bawah Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH).

 

CO-EXIST 

PTS merupakan satu-satunya Politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di Malaysia yang wujud bersama-sama (co-exist) dalam satu kawasan. PTS dan IPG Kampus Tawau berkongsi fasiliti dan tenaga kerja meskipun mempunyai visi dan misi yang berbeza. Ini yang membuatkan PTS unik!

 

HAB PENDIDIKAN 

Bertempat di Balung, Tawau, PTS dikelilingi institusi-institusi pendidikan lain seperti IPG Kampus Tawau dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Kampus Tawau. Malah, sekolah berdekatan, SMK Balung pernah dianugerahkan sebagai 'Sekolah Cemerlang Luar Bandar'.

Tidak jauh dari Balung, terdapat beberapa lagi institusi pendidikan tinggi (IPT) seperti Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS Tawau), Open University - Tawau Learning Centre dan Kolej Komuniti Tawau Sabah (Sijil Kulinari) terletak di Bandar Sri Indah.

 

LOKASI STRATEGIK 

Selain berada dalam hab pendidikan Apas-Balung, lokasi PTS juga strategik dalam sektor pelancongan kerana tidak jauh dari Lapangan Terbang Tawau (12km), Pulau Sebatik, Malaysia-Indonesia (47km) dan jeti pelancongan ke pulau-pulau terkemuka di Semporna (74km).


DESTINASI PELANCONGAN 

Tawau, Sabah mempunyai destinasi-destinasi pelancongan menarik seperti Bukit Tawau (56km) yang diiktiraf dunia dengan penemuan pokok tropika tertinggi dan merupakan tinggalan gunung berapi dahulu kala; Bukit Gemok (46km) mempunyai jambatan kanopi tersendiri; Air Panas Tawau (41km) antara dua kolam air panas terkenal terdapat di Sabah selain di Poring, Ranau; Pasar Tanjung (37km) pula mempunyai pelbagai jualan hasil hidupan laut seperti ikan bilis, udang dan ikan kering dengan harga paling rendah sehingga menjadi tumpuan utama pelancong tempatan di seluruh Malaysia jika singgah ke bandar Tawau. Bahkan Tawau juga merupakan laluan utama untuk ke kawasan konservasi terkenal Lembah Danum dan Maliau Basin; dan perhentian utama untuk ke pulau-pulau di Semporna.

 

POTENSI PTS 

Justeru itu PTS pantas menjalinkan kerjasama bersama-sama pemain-pemain industri pelancongan di Tawau dan negeri Sabah dalam hal-hal akademik, meningkatkan kemahiran staf, tanggungjawab sosial dan promosi bagi kedua-dua belah pihak.

Ini menjadikan PTS sebagai sebuah IPT pilihan utama bakal pelajar di kawasan ini dan juga negeri Sabah untuk melanjutkan pendidikan dalam program pengajian yang ditawarkan, seterusnya berpeluang mempunyai pekerjaan khususnya dalam bidang pelancongan.

 

 

 #PTSterusmaju